"Independence is happiness" - Susan B. Anthony

Apa Itu Bitcoin?

Bitcoin adalah bentuk mata wang kripto pertama, yang diwujudkan dan dimiliki secara elektronik. Bitcoin tidak dicetak seperti mata wang ringgit, dollar, pound, euro dan sebagainya. Tidak dikawal segala transaksi oleh mana-mana bank pusat atau pihak pengawalselia. Segala transaksi dilakukan secara bersama oleh pengguna melalui rangkaian (network), iaitu rangkaian penyiaran mudah untuk menyebarkan transaksi dan blok, dengan menggunakan perisian komputer yang menyelesaikan masalah matematik.

Siapa Pencipta Bitcoin?

Seorang pemaju perisian yang berselindung di bawah nama Satoshi Nakamoto yang mencadangkan bitcoin pada tahun 2008, sebagai sistem pembayaran elektronik berdasarkan bukti matematik. Idea ini adalah untuk menghasilkan cara pertukaran, bebas daripada mana-mana pihak berkuasa pusat, yang boleh dipindahkan secara elektronik dalam cara yang selamat, boleh disahkan dan tidak berubah-ubah.

Bagaimana Bitcoin Berbeza Dari Mata Wang Tradisional

Bitcoin boleh digunakan untuk membayar barangan secara elektronik, jika kedua-dua pihak bersedia dan sanggup. Dalam erti kata lain, ia seperti dolar konvensional, euro, atau yen, yang juga didagangkan secara digital.

Tetapi ia berbeza dari mata wang digital fiat dalam beberapa faktor penting:

  1. Tidak Berpusat (Decentralized)

Ciri-ciri paling penting Bitcoin adalah ia tidak dikawal secara berpusat. Tiada institusi tunggal mengawal rangkaian bitcoin. Ia dikekalkan oleh sekumpulan pengekod (coders) sukarelawan, dan dikendalikan oleh rangkaian terbuka komputer khusus yang tersebar di seluruh dunia. Ini menarik minat individu dan kumpulan yang tidak selesa dengan kawalan pihak bank atau institusi kerajaan ke atas wang mereka.

Bitcoin menyelesaikan “masalah perbelanjaan berganda” mata wang elektronik (di mana aset digital dengan mudah boleh disalin dan digunakan semula) melalui gabungan kriptografi dan insentif ekonomi. Dalam mata wang fiat elektronik, fungsi ini dipenuhi oleh bank, yang memberi mereka kawalan ke atas sistem tradisional. Dengan bitcoin, integriti urus niaga dikekalkan oleh rangkaian teredar dan terbuka, yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun.

  1. Penawaran Terhad

Mata wang Fiat (dolar, euro, yen, dan sebagainya) mempunyai bekalan tanpa had – bank pusat boleh mengeluarkan seberapa banyak yang mereka mahukan, dan boleh cuba memanipulasi nilai mata wang. Pemegang mata wang tersebut (terutama rakyat yang tidak punyai alternatif) akan menanggung kos.

Dengan bitcoin, bekalan dikawal ketat oleh algoritma yang mendasarinya. Sebilangan kecil bitcoin baru dijana setiap jam, dan akan terus melakukannya pada kadar yang berkurang sehingga maksimum 21 juta telah dicapai. Ini menjadikan bitcoin lebih menarik sebagai aset – secara teori, jika permintaan bertambah dan bekalan tetap sama, maka nilainya akan meningkat.

  1. Penyamaran

Walaupun penghantar pembayaran elektronik tradisional biasanya dikenalpasti (untuk tujuan pengesahan, dan untuk mematuhi pencegahan pengubahan wang haram dan undang-undang lain), pengguna bitcoin secara teori beroperasi secara separuh dikenali. Oleh kerana tidak ada pengesah berpusat, pengguna tidak perlu mengenalkan diri mereka semasa menghantar bitcoin kepada pengguna lain. Apabila permintaan transaksi dikemukakan, protokol itu memeriksa semua transaksi sebelumnya untuk mengesahkan bahawa pengirim mempunyai bitcoin yang diperlukan serta kuasa untuk menghantarnya. Sistem ini tidak perlu mengenali identiti beliau.

Setiap pengguna dikenal pasti dengan alamat dompetnya. Transaksi boleh, dengan beberapa usaha, dijejaki dengan cara ini. Juga, penguatkuasa undang-undang telah membangunkan kaedah untuk mengenal pasti pengguna, jika perlu.

Selain itu, kebanyakan bursa dikehendaki oleh undang-undang untuk melakukan pemeriksaan identiti terhadap pelanggan sebelum mereka dibenarkan membeli atau menjual bitcoin, ini seperti memudahkan penggunaan bitcoin senang dijejaki. Oleh kerana rangkaian itu telus, kemajuan transaksi tertentu dapat dilihat oleh semua orang.

Ini menjadikan bitcoin bukan mata wang yang ideal untuk penjenayah, pengganas atau penipu wang.

  1. Tidak Boleh Ubah

Transaksi Bitcoin tidak boleh diterbalikkan, tidak seperti transaksi fiat elektronik.

Tiada individu atau kumpulan yang boleh menjadi seperti hakim yang boleh memberikan penghakiman untuk mengembalikan wang tersebut. Sekiranya transaksi dicatatkan pada rangkaian, dan jika lebih daripada sejam telah berlalu, adalah mustahil untuk diubahsuai.

Walaupun ia mungkin mengganggu sesetengah pihak, ini bermakna bahawa sebarang transaksi pada rangkaian bitcoin tidak boleh diganggu.

  1. Pembahagian

Unit terkecil bitcoin dipanggil satoshi. Ia adalah seratus juta bitcoin (0.00000001). Ini membolehkan berlakunya transaksi mikro di mana wang elektronik tradisional sekarang tidak mampu melakukannya.

Bagaimana Bitcoin Baru Dijana?

Bitcoin baru dijana oleh rangkaian (network) melalui proses perlombongan (mining). Ia adalah proses yang serupa seperti skim simpanan premium BSN yang berterusan, nod-nod perlombongan (mining nodes) pada rangkaian diberi ganjaran bitcoin setiap kali mereka mencari dan menyelesaikan masalah matematik tertentu dan tercipta satu blok baru. Mencipta satu blok merupakan bukti kerja (proof-of-work) dengan kesukaran yang berbeza melalui kekuatan keseluruhan rangkaian.

Ganjaran untuk penyelesaian satu blok diselaraskan secara automatik supaya setiap empat tahun pengendalian rangkaian Bitcoin, separuh jumlah bitcoin yang dicipta dalam 4 tahun terdahulu dibuat. Sebanyak 10,499,889.80231183 bitcoin (maksimum)  telah dicipta dalam tempoh kurang lebih 4 tahun pertama dari Januari 2009 hingga November 2012. Setiap empat tahun selepas itu, jumlah ini akan berkurangan separuh maka jumlahnya 5,250,000 untuk tahun 4 hingga 8, kemudian 2,625,000 untuk tahun 8 hingga 12, dan seterusnya. Jadi jumlah bitcoin yang dijana tidak boleh melebihi 20,999,839.77085749.

Blok-blok dilombong setiap 10 minit secara purata dan untuk empat tahun pertama (210,000 blok) setiap blok dimasukkan 50 bitcoin baru. Memandangkan jumlah kuasa pemprosesan yang diarahkan pada perlombongan berubah-ubah, kesukaran untuk menjana bitcoin baru turut berubah. Faktor kesukaran ini dikira setiap 2016 blok dan berdasarkan pada masa yang diambil untuk menjana 2016 blok sebelumnya. Untuk keterangan lanjut, boleh ikuti topic perlombongan (mining).

 

 

Apa Itu Bitcoin?

error: Content is protected !!