"If you cannot do great things, do small things in a great way" - Napoleon Hill

Wang Dan Evolusinya

Wang Dan Evolusinya Sehingga Ke Hari Ini |  Definisi “Wang” mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (edisi ke-4), bermaksud alat pertukaran yang mempunyai harga (nilai) tertentu dan diakui sah. Ia juga apa-apa butiran atau rekod yang boleh dibuktikan yang diterima pakai secara amnya sebagai pembayaran untuk barangan dan perkhidmatan dan pembayaran hutang di negara tertentu atau konteks sosio-ekonomi. Tetapi tahukah anda asal usul wang ini pada masyarakat yang wujud beribu-ribu tahun terdahulu? Di sini kita akan melihat bagaimana evolusi wang dari mula sehingga ke hari ini.

Peringkat Permulaan: Pertukaran (Barter)

Pertukaran (Barter) berlaku berpuluh ribu tahun yang lalu di mana amalan pertukaran barangan atau perkhidmatan antara dua pihak untuk kelebihan bersama.

9000 – 6000 Sebelum Masehi: Ternakan

Ternakan seperti Lembu, Kambing, Unta dan lain-lain merupakan bentuk wang pertama dan tertua sekali. Apabila pertanian diperkenalkan, biji-bijian dan sayur-sayuran serta tumbuhan lain dijadikan bentuk pertukaran dalam kebanyakan budaya.

1200 Sebelum Masehi: Cowrie

Cowrie ialah hidupan marin yang mempunyai kulit cengkerang terang berkilat, dengan pembukaan panjang yang sempit. Ia boleh didapati di perairan cetek di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Penggunaan cowrie yang pertama bermula di China. Banyak masyarakat telah menggunakan cowrie sebagai wang, dan sehingga ke pertengahan abad, ia telah digunakan di beberapa bahagian negara Afrika. Cowrie adalah mata wang yang paling banyak digunakan dan paling lama dalam sejarah.

1000 Sebelum Masehi: Wang Logam

Cowrie Gangsa dan Cowrie Tembaga tiruan telah dihasilkan di China pada penghujung zaman batu dan boleh dianggap sebagai beberapa bentuk permulaan wang logam. Wang alat logam, seperti pisau dan wang spade, juga mula digunakan di China. Wang logam awal ini berkembang menjadi versi primitif syiling bulat. Duit syiling Cina dibuat daripada logam asas, sering mempunyai lubang ditengahnya supaya mereka dapat disatukan seperti rantai.

500 Sebelum Masehi: Syiling Moden

Duit syiling pertama dibentuk daripada ketulan perak. Bentuk bulat menjadi pilihan sehingga ke hari ini dan dicap dengan pelbagai rupa dewa dan maharaja untuk membuktikan kesahihan mereka. Duit syiling awal ini mula-mula muncul di Lydia, Turki. Kemudian duit syiling ini telah ditiru dan diperhalusi oleh orang Greek, Parsi, Macedonia, dan kemudian empayar Roman. Tidak seperti duit syiling China yang bergantung pada logam asas, duit syiling baru ini dibuat daripada logam berharga seperti perak, gangsa, dan emas, yang mempunyai nilai lebih tinggi.

118 Sebelum Masehi: Wang Kulit

Wang kulit mula digunakan di China dalam bentuk sekeping satu kaki persegi kulit rusa berwarna putih dengan sempadan berwarna-warni. Ini boleh dianggap sebagai jenis wang kertas pertama yang didokumenkan.

800 – 900 Selepas Masehi: Hidung

Satu ungkapan Inggeris “to pay through the nose“, berasal dari orang Denmark yang tinggal di Ireland, mereka menoreh hidung orang yang tidak dapat membayar cukai Denmark.

806 Selepas Masehi: Mata Wang Kertas

Mata wang kertas pertama yang diketahui muncul di China. Secara keseluruhannya, China telah menggunakan wang kertas awal lebih daripada 500 tahun, merangkumi dari abad ke sembilan hingga abad ke lima belas. Dalam tempoh ini, pengeluaran nota kertas meningkat sehingga menyebabkan nilainya menurun dengan pantas dan inflasi meningkat. Bermula pada tahun 1455, penggunaan wang kertas di China hilang selama beberapa ratus tahun sehinggalah mata wang kertas muncul semula di Eropah.

1500 Selepas Masehi: Potlach

“Potlach” berasal dari adat kaum asli Chinook yang wujud dalam budaya orang asli Amerika Utara. Ia adalah upacara di mana bukan sahaja hadiah yang ditukar, tetapi tarian, perayaan, dan ritual awam lain dilakukan. Dalam sesetengah keadaan, potlach adalah satu bentuk pertukaran untuk diterima masuk dalam kelompok rahsia. Pertukaran hadiah sangat penting dalam menentukan pangkat sosial pemimpin, potlach kerap menjadi diluar kawalan kerana hadiah menjadi semakin mewah dan puak-puak mengadakan perayaan yang lebih besar dan bermegah untuk mengalahkan antara satu sama lain.

1535: Wampum

Wampum ialah manik kecil berbentuk silinder dibuat oleh orang asli Amerika Utara dari kerang, digantung bersama dan dipakai sebagai hiasan atau digunakan sebagai wang sekitar tahun 1535.

1816: Piawaian Emas

Emas secara rasmi dijadikan piawaian nilai di England pada tahun 1816. Pada masa ini, garis panduan telah dibuat untuk membolehkan pengeluaran wang kertas tanpa meningkat inflasi yang diwakili oleh sejumlah emas. Wang kertas telah digunakan di England dan Eropah selama beberapa ratus tahun, tetapi nilai mereka tidak pernah terikat secara langsung kepada emas. Di Amerika Syarikat, Akta Piawaian Emas dengan rasminya digubal pada tahun 1900, yang membawa kepada penubuhan sebuah bank pusat.

1930: Berakhir Piawaian Emas

Kejatuhan ekonomi pada 1930 (the Great Depression), dirasai di seluruh dunia yang bermula di Amerika Syarikat telah menyebabkan permulaan kepada berakhirnya piawaian emas. Di Amerika Syarikat, piawaian emas disemak semula dan harga emas diturunkan sebagai langkah pertama untuk mengakhiri hubungan itu. Piawaian emas di England dan antarabangsa juga berakhir, dan bermulalah peraturan kewangan antarabangsa (international monetary regulation) yang kompleks.

Masa Kini: Wang Fiat

Hari ini, mata wang terus berubah dan berkembang dan dikenali sebagai Wang Fiat. Ia adalah mata wang tanpa nilai intrinsik yang ditubuhkan oleh peraturan sesebuah kerajaan. Ia mempunyai nilai yang diberikan hanya kerana kerajaan menggunakan kuasa untuk menguatkuasakan nilai mata melalui kawalan berpusat (centralized).

  1. Wang Kertas

    Wang kertas pertama dikeluarkan oleh Brazil pada tahun 1810. Mata wang itu hanyalah sekeping kertas dengan beberapa tandatangan dengan nilai tulisan tangan di atasnya. Ia kelihatan seperti cek yang kita ada hari ini. Bank pertama mengeluarkan mata wang kertas adalah Banco do Brasil.

  2. Sistem Kewangan

    Jangan terkeliru antara sistem kewangan dengan wang kertas. Sistem kewangan ini telah mewujudkan apa yang kita panggil ekonomi di mana negara sangat memilih dengan siapa mereka nak berdagang dan dicampur pula dengan politik dibawa ke mata wang. Sistem kewangan menggunakan satu set kertas dan duit syiling dengan setiap negara mencipta mata wang mereka sendiri.

  3. Wang Plastik

    Terdapat banyak jenis wang plastik dengan kredit atau debit. Tetapi konsep asas bagaimana kad-kad ini berfungsi ialah kad itu hanya “panggilan bank” dan mengatakan bahawa anda ingin membuat pembelian. Bank kemudian membolehkan pedagang mengambil wang secara langsung dari kad anda.

  4. Dompet Digital

    Dompet digital (digital wallet) wujud sebaik sahaja internet dicipta. Walaupun ia mengambil sedikit masa sebelum fungsi ini digunapakai, PayPal berjaya mendominasikan bahagian ini. Ia adalah dompet digital terbesar di dunia dengan lebih daripada $350 juta transaksi dilakukan setiap hari oleh PayPal.

Masa Akan Datang: Wang Elektronik Atau Wang Digital

Pada zaman digital yang bermula sekitar akhir 90-an, kebanyakkan transaksi ekonomi berlaku secara elektronik, tanpa pertukaran mana-mana mata wang fizikal. Wang digital dalam bentuk bit (bits) dan bait (bytes) mula diperkenalkan dan telah mendapat momentum pada era Dot-com pada awal tahun 2000-an. Tidak banyak inovasi berlaku sehingga lah konsep mata wang kripto diperkenalkan pada tahun 2009, oleh seorang yang hanya dikenali dengan nama Satoshi Nakamoto (di alam maya) yang memperkenalkan Bitcoin.

Apa itu Mata Wang Kripto (Cryptocurrency)

error: Content is protected !!